Tuesday, May 31, 2011

Kisah Surah Al-Ikhlas

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda: "Ketika saya (Rasulullah S.A.W.) berisrak ke langit, maka saya telah melihat Arsy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara sendi ialah 300,000 tahun perjalanan, pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membawa surah Al-Ikhlas (Qul huwallaahuahad)".

Sabda Rasulullah S.A.W. lagi: "Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: 'Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik dianya lelaki mahupun perempuan".

Apabila para sahabat mendengar keterangan dari Rasulullah S.A.W. maka mereka sangat kagum.

Kemudian Rasulullah S.A.W. bersabda lagi: "Wahai para sahabatku, apakah kamu semua kagum?" Berkata para sahabat: "Ya, kami sungguh kagum Ya Rasulullah S.A.W."

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Demi Allah yang jiwaku di tangannya, sesungguhnya "Qul Huwallahu ahadun" itu tertulis di sayap malaikat Jibril A.S. "Allahush Shomad" itu tertulis di sayap malaikat Mikail A.S. "Lamyalid walamyuulad" itu tertulis pada sayap malaikat Izrail A.S. "Walam yakun lahu kufuan ahadun" tertulis pada sayap malikat Israfil A.S. Oleh itu, barang siapa dari umatku membaca surah Al-Ikhlas maka dia diberi pahala membaca kitab Taurad, Injil, Zabur dan Al-Quran yang agung."

Setelah Rasulullah S.A.W. berkata demikian maka baginda bersabda lagi: "Wahai para sahabatku, apakah kamu semua kagum?" Maka berkata para sahabat: "Ya Rasulullah S.A.W. kami semua kagum."

Lalu Rasulullah S.A.W. bersabda: "Demi Allah yang jiwaku di tangannya, sungguh Qul huwallahu Ahadun itu tertulis di dahi Abu Bakar Ash-Sidiq, Allahush Shomad itu tertulis di dahi Umar Al Faaruq, Lyamyalid walam yuulad itu tertulis di dahi Ustman Dzan Nuuraini dan Walam yakunlahu kufuan Ahadun itu tertulis di dahi Ali Assakhiyyi r.a, Oleh itu, sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas maka dia diberi oleh Allah S.W.T. pahala Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali r.a." Subahanallah......., semoga kita dapat beramal

Monday, May 30, 2011

Harta Yang Mengutuk Tuannya Di Hadapan Malaikat Maut

Dalam sebuat riwayat menerangkan bahawa ada seorang lelaki yang banyak sekali mengumpulkan hartanya, dia membina sebuah istana dan dilengkapi dengan para pengawal. Pintu istana lelaki itu dibuat dari besi yang cukup kukuh.

Pada suatu hari lelaki itu mengumpulkan keluarganya dan menyediakan makanan untuk mereka, kemudian dia duduk di atas tempat tidur dan dia mengangkat salah satu kakinya ke atas kaki yang lain, kemudian dia pun makan bersama.

Apabila mereka selesai makan, lelaki itu pun berkata: "Wahai saudara-saudaraku berdirilah, nikmatilah makanan untuk beberapa tahun yang telah aku kumpulkan untuk kamu semua."

Belum selesai lelaki itu berkata, datanglah malaikat maut dalam bentuk seorang lelaki yang sedang membawa dua kain buruk dan dilehernya tergantung karung makanan kuda, keadaannya seperti orang miskin.

Kemudian malaikat maut mengetuk pintu dengan keras sehingga menakutkan lelaki itu yang sedang tidur di atas tempat tidurnya, oleh kerana ketukan yang cukup kuat maka berlarilah pengawal lelaki itu ke pintu tanpa membukanya sambil melihat dari lubang pintu.

Kata pengawal: "Siapakah kamu, apa yang kamu mahu?"

Kata malaikat maut: "Panggil tuanmu ke sini."

Pengawal lelaki itu berkata: "Tuan kami tidak akan bertemu dengan orang yang seperti kamu."

Setelah berkata demikian maka pengawal itu pun pergi memberitahu tentang orang yang mengetuk pintu itu.

Malaikat maut mengetuk pintu dengan kuat lagi sehingga menyebabkan pengawal tidak tahan sabar lalu meluru ke pintu. Apabila malaikat maut melihat pengawal dekat pintu maka dia berkata: "Wahai pengawal, beritahu tuanmu bahawa aku adalah malaikat maut!"

Para pengawal merasa sangat takut, lelaki kaya itu berkata kepada pengawalnya: "Wahai pengawal! katakan dengan lemah lembut kepada malaikat maut, tanyakan sama ada dia hendak mengambil nyawa seseorang."

Kemudian malaikat maut masuk ke dalam istana lalu berkata kepada lelaki itu: "Buatlah apa yang hendak kamu buat pada hartamu itu, aku tidak akan meninggalkan tempat ini sebelum aku keluarkan nyawa kamu."

Lelaki itu memandang kepada hartanya sambil berkata: "Wahai harta, engkau ini telah dikutuk oleh Allah, engkau telah menyibukkan aku dan engkau telah membuat aku lupa beribadat kepada Allah. Engkau telah mencegah aku dari mengingati Allah."

Setelah lelaki itu memarahi hartanya, maka Allah S.W.T. mengizikan hartanya berkata-kata.

Lalu harta itu pun berkata: "Mengapa kamu memaki aku? Kamu dapat bertemu dengan raja-raja adalah dengan sebab aku, orang yang bertaqwa semua kamu tolak, kamu mengahwini wanita-wanita dengan penuh kenikmatan kerana aku, kamu duduk dalam majlis raja-raja adalah kerana aku, kamu belanjakan aku ke jalan yang jahat tetapi aku tidak memarahi kamu. Kalaulah kamu membelanjakan aku ke jalan kebajikan nescaya aku akan mendatangkan menfaat kepada kamu, kamu dan anak Adam itu dijadikan dari tanah maka berjalanlah dia dengan kebajikan dan berjalanlah dia dengan dosa."

Banyak sekali manusia tidak sedar bahawa harta yang mereka usahakan siang dan malam tanpa menunaikan kewajipan mereka terhadap Allah, sebenarnya mereka itu menghimpunkan untuk mendapatkan dosa yang paling banyak. Islam tidak melarang seseorang itu mencari harta dan kekayaan, Islam menyuruh kita mencari harta dengan menunaikan segala tanggungjawab kita terhadap Allah S.W.T.

Cuba kita lihat berapa banyak manusia yang tidak sembahyang, mereka merasa dunia ini hanya tempat untuk menghimpun harta sahaja. tetapi mereka tidak ingat bahawa harta yang mereka kumpulkan itu tidak akan berguna apabila malaikat maut sudah tiba. Apa yang mereka akan dapat hanyalah siksa yang pedih.

Orang yang mengumpulkan harta dengan cara mencabar perintah Allah, adalah mereka itu orang yang menanti-nanti bilakah agaknya akan datang siksaan Allah. Sebenarnya orang yang mengumpulkan harta dengan tidak menunaikan perintah Allah adalah mereka ini orang yang akan mendapat paling banyak siksa, dan di akhirat nanti sterika panas akan diseterikakan ke atas tubuh mereka. Di kala itu barulah mereka tahu kenapa mereka dihidupkan di dunia.

Wahai saudara-saudaraku, janganlah menjadi manusia yang sombong di muka bumi ini. Kerana manusia tidak akan kekal hidup di muka bumi, maut tetap akan mencari kita, sebelum maut mencari kita hendaklah kita kembali menyembah Allah S.W.T. Allah adalah Tuhan kita dan Dialah Raja yang patut disembah.

Punca Kehancuran Umat Islam

Tsauban r.a. berkata: "Telah bersabda Rasulullah S.A.W. 'Sesungguhnya Allah S.W.T. telah memperlihatkan kepadaku (peta) bumi secara keseluruhannya, aku dapat melihat bumi sebelah Timur dan Barat. Sesungguhnya kekuasaan umatku akan sampai ke seluruh tempat yang telah diperlihatkan oleh Allah S.W.T. kepadaku'."

Sabda Rasulullah S.A.W.: "Kepadaku telah diberikan dua macam perbendaharaan iaitu merah dan putih. Aku telah memohon kepada Allah S.W.T. untuk membantu umatku supaya mereka tidak dibinasakan dengan musim susah yang panjang, dan aku telah memohon kepada Allah S.W.T. supaya mereka tidak dijajah oleh kekuasaan asing selain mereka sendiri, sehingga kekuasaan mereka itu menjadi hancur luluh.

Lalu Allah S.W.T. berfirman: "Ya Muhammad, apabila Aku telah memutuskan suatu putusan maka putusanKu tidak dapat diubah lagi. Aku perkenankan doamu untuk umatmu, bahawa mereka tidak akan binasa dengan musim susah yang panjang. Dan Aku tidak akan menjajahkan kepada mereka suatu kekuatan musuh selain diri mereka sehingga kekuatan mereka hancur luluh, sekalipun musuh-musuh mereka bersatu mengelilingi, melainkan bila sebahagian mereka membinasakan yang sebahagian dan mereka saling tawan-menawan."

Hadis ini sudah cukup kukuh untuk kita fikirkan kenapa negara Islam berperang sama sendiri, kenapa Iraq menyerang Iran dan Iran menyerang Iraq. Kenapa Iraq menyerang Kuwait dan kenapa Arab Saudi, Mesir, Syria, Turki dan orang-orang kafir menyerang Iraq.

Kalay orang Islam tidak menyerang antara satu dengan lain, bukankah yang akan bermegah adalah orang Islam sendiri. Bukankah apabila berlaku peperangan sesama Islam yang rugi ialah orang Islam sendiri.

Islam tidak menyuruh membunuh sesama Islam, Islam menyuruh supaya orang-orang Islam bersatu dan menjadi sebagai sebuah negara contoh dan teladan pada negara yang bukan Islam. Sekiranya orang-orang Islam dapat menjadikan negara Islam sebagai negara contoh yang berdasarkan kepada cara pemerintahan Rasulullah S.A.W. maka InsyAllah satu hari nanti seluruh dunia akan menjadi negara Islam.