Wednesday, June 15, 2011

Berjuang Hanya Kerana Allah S.W.T.

Sudah menjadi sifat daripada orang yang paling tinggi takwanya terutama para sahabat Rasulullah S.A.W., perjuangan mereka semata-mata hanya kerana Allah. Mereka tidak begitu mengambil perhatian kalau masalah peribadi mereka dicabar oleh orang, tetapi sebaliknya mereka akan berjuang habis-habisan kalau agamanya dipermain-mainkan oleh musuh. Sifat demikian memang mereka warisi dari Rasulullah S.A.W.

Dikisahkan bahawa, pada suatu hari seorang Yahudi telah mempermain-mainkan agama Islam dengan angkuhnya di hadapan Saiyidina Ali Karramahullahuwajhah. Akibatnya, Ali yang terkenal dengan keberanian dan tegas, telah marah dan mencabar orang Yahudi itu. Maka terjadilah pergaduhan antara kedua-duanya. Perang satu lawan satu itu semakin lama makin hebat. Si Yahudi berjuang kerana angkuh dan sombongnya sedangkan Ali berjuang semata-mata kerana Allah bagi mempertahankan kesucian dan maruah Islam. Kerana hebatnya gerakan dan pukulan Ali, maka terpelantinglah tubuh si Yahudi dan tergolek di atas tanah. Dengan cepat Ali menindih tubuh musuh Allah itu dengan duduk di atas perutnya. Lalu kedua-dua tangannya dipegangnya kuat-kuat dan dimatikannya gerakannya. Kini si Yahudi sudah tidak bergerak lagi. Sementara Ali menatap tajam ke wajahnya sebagai tanda bahawa nyawa lawannya sedang terancam dan hanya tingggal menunggu saat-saat untuk ditikam.

Dalam keadaan tidak berdaya si Yahudi masih mencari-cari akal untuk melepaskan diri, namun tidak berhasil juga. Tiba-tiba dia dapat melepaskan murkanya dengan meludahi wajah Ali. Maka basahlah waja Ali yang mulia itu oleh ludah si Yahudi. Setelah wajahnya berlumur ludah, Ali terdiam. Tidak lama kemudian beliau melepaskan genggaman tangannya dari memegang tangan si Yahudi dan berdiri tegak. Dibuka serbannya dan dilapkan pada ludah yang melekat di wajahnya.


Melihat dirinya sudah tidak ditindih dan tidak diperhatikan lagi, si Yahudi bangun dan berdiri tegak di hadapan Ali. Dengan kehairanan dia bertanya: "Mengapa engkau tidak bunuh aku? Padahal itu merupakan kesempatan yang baik buatmu untuk melakukan itu?"

Kemudian dia berkata lagi: "Aku meludahi wajahmu itu sebenarnya kerana aku sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Saiyidina Ali menjawab: "Tadi saya bergaduh dan menyerang kamu kerana mempertahankan agama Allah. Saya akan membunuh engkau selama engkau menentang Tuhan."

Sambil membetulkan letak serbannya, beliau berkata lagi: "Tetapi setelah kau ludahi wajahku, masalahnya sudah bukan lagi mempertahankan agama Allah. Ia telah menjadi masalah peribadi. Aku sangat murka kepada engkau kerana meludahiku. Kalau sekiranya aku bunuh engkau kerana kemurkaan berkenaan dengan urusan peribadi, maka perjuangkanku sudah tidak ada erti lagi. Sebab bukan lagi kerana mempertahankan agama Allah, melainkan kerana mempertahankan harga diri."

Mendengar penjelasan itu, si Yahudi sangat kagum dengan tingginya akhlak dan keperibadian Ali. Dari pengajaran itu, tahulah dia bahawa perjuangan Rasulullah dan orang Islam bukan untuk kepentingan peribadi tetapi semata-mata demi kepentingan agama Islam.

Saturday, June 11, 2011

Iblis Menghukum Syaitan Yang Gagal Menggoda Orang Yang Mendirikan Sembahyang

Dalam kitab Thanbihul Ghafilin menerangkan bahawa apabila tiba waktu sembahyang Iblis laknat akan menyuruh tenteranya yang terdiri dari syaitan supaya menyibukkan manusia dengan kesibukan hingga melalaikan mereka dari mengerjakan sembahyang.

Apabila tiba waktu sembahyang syaitan-syaitan akan mengganggu manusia sehingga luput waktu sembahyang. Kalau syaitan itu gagal berbuat demikian maka syaitan itu akan mengganggu mereka-mereka yang mengerjakan sembahyang dengan cara menyuruh mereka supaya tidak menyempurnakan rukuk' dengan betul, tidak menyempurnakan sujud dengan betul, begitu juga dari segi bacaan dan tasbih.

Dikisahkan juga kalau syaitan itu tidak dapat mengganggu mereka yang mengerjakan sembahyang maka mereka pulang dengan perasaan rugi dan hina. Apabila syaitan itu kembali kepada Iblis laknat kerana ia gagal mengganggu orang yang mengerjakan sembahyang, Iblis laknat akan memerintahkan supaya syaitan itu diikat dan dilemparkan ke dalam laut.

Dikisahkan juga kalau syaitan itu berjaya mengganggu orang yang mengerjakan sembahyang atau berjaya melalaikan dari mengerjakan sembahyang maka syaitan itu akan dipuji dan dimuliakan serta diagung-agungkan.

Berkata Abul Laits Assamarqandi: "Sesungguhnya kamu mempunyai 4 musuh yang sangat memerlukan kesungguhan kamu untuk menghadapinya:-

1. Dunia (Kehidupan dunia)

Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud: "Maka janganlah sekali-kali kamu semua ditipu oleh dunia (kehidupan dunia).

2. Nafsu.

Ibnu Abbas r.a. berkata: "Musuhmu yang paling ketat dan sangat berbahaya ialah nafsumu, dia itu berada di antara dua rusuk kamu."

3. Syaitan dari Jin.

Syaitan dari Jin, maka hendaklah memohon  perlindungan kepada Allah S.W.T. dari tipu dayanya.

4. Syaitan dari Manusia.

Syaitan dari manusia, maka hendaklah kamu berhati-hati dari mereka, kerana mereka itu lebih dahsyat dari syaitan dari jin sebab syaitan dari jin menyesatkan manusia hanya dengan bisikan sahaja. Adapun syaitan dari manusia itu menyesatkan manusia dengan mata yang boleh dilihat akan perkara-perkara jahat dan kadang-kadang mereka memberikan pertolongan untuk mengerjakan yang jahat dan baik.

Thursday, June 9, 2011

Nasihat Allah S.W.T. Kepada HambaNya

Sempena penghulu segala hari.., saya ingin kongsikan satu cerita teladan kepada semua sahabat pembaca. Mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat perlindungan daripadaNya. Selamat membaca....,

Abu Dzar r.a. dari Rasulullah S.A.W. beliau bersabda bahawa Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud: "Wahai hambaKu! Sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas diriKu dan Kuharamkan pula kamu dari berlaku zalim."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu semua sesat, melainkan orang yang dapat petunjuk daripadaKu. Oleh itu mohonlah petunjuk kepadaKu nescaya Aku tunjuki kamu."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu semua lapar, melainkan kepada orang yang Kuberi makan. Oleh itu mintalah kepadaKu nescaya Aku akan memberikan kamu makan."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu semua telanjang, melainkan orang yang Kuberi pakaian. Oleh itu mintalah pakaian kepadaKu, nescaya Aku akan memberikan pakaian."


Firman Allah S.W.T.: "Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu sekalian banyak berbuat dosa siang dan malam padaKu dan Aku pula bersedia mengampuni segala dosa kamu itu. Oleh itu mintalah ampun kepadaKu, nescaya Aku akan mengampuni kamu."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai hambaKu! Kamu semua tidak akan dapat memberikan mudarat kepadaKu, seandainya kamu dapat sudah pasti kamu akan memudaratkanKu."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai hambaKu! Sesungguhnya kamu tidak dapat memanfaatkanKu, seandainya kamu dapat sudah tentu kamu memanfaatiKu (mempergunakan)."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai hambaKu! Sekiranya orang-orang yang sebelum dan sesudah kamu yang terdiri dari manusia atau pun jin lebih taqwa daripada orang yang paling taqwa di antara kamu, maka hal itu tidak akan menambahkan sesuatu apa bagi kekuasaanKu."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai hambaKu! Sekiranya orang-orang yang sebelum dan sesudah kamu, baik dari manusia atau pun jin lebih durhaka daripada orang yang paling durhaka di antara kamu semua, maka hal yang demikian itu tidaklah akan mengurangkan sesuatu apa-apa pun bagi kekuasaanKu."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai hambaKu! Sekiranya orang yang sebelum dan sesudah kamu baik dianya dari manusia atau pun jin, berkumpul mereka semua di suatu tempat yang luas. Lalu mereka meminta kepadaKu dan Aku penuhi permintaan mereka itu semuanya. Hal yang demikian itu tidak akan mengurangi sesuatu apa-apa pun dalam perbendaharaanKu."

Firman Allah S.W.T.: "Wahai hambaKu! Hanya amalmu sahaja yang akan Aku perhitungkan terhadap kamu dan memberinya dengan pahala."

Oleh itu sesiapa yang beroleh kebaikan hendaklah dia memuji Allah S.W.T. dan sesiapa yang beroleh lain dari kebaikan janganlah dia mencela sesiapa kecuali akan dirinya sendiri (kerana dia yang bersalah)."

Wassalam..., sampai di sini saja entry kali ini, semoga kita semua mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah S.W.T. amin..,

Wednesday, June 8, 2011

Nasihat Lukman Al-Hakim Kepada Anaknya

Kata Lukman Al-Hakim kepada anaknya: "Wahai anakku! Apabila perutmu penuh dengan makanan (kenyang) maka akan matilah fikiran dan hikmah kebijaksanaanmu. Semua anggota badanmu akan menjadi malas untuk melakukan ibadah, dan akan hilang kebersihan hati dan kehalusannya di mana hati yang bersih hanya akan tercapai dengan kelazatan bermunajat (mengadap Allah) dan manfaat berzikir (ingat kepada Allah)."

Kata Lukman Al-Hakim: "Wahai anakku! Kalau sewaktu kecil engkau rajin belajar dengan tekun menuntut ilmu sebanyak-banyaknya, maka apabila kamu dewasa kelak (dihari tua) kamu akan memetik buahnya dan kamu akan menikmatinya."

Kata Lukman Al-Hakim: "Wahai anakku! kamu ikutlah ketika orang membawa jenazah, dan janganlah kamu mengikuti jamuan perkahwinan. Kerana jenazah itu dapat mengingatkan engkau akan kesudahan dari hidupmu di dunia yang fana ini. Sementara majlis perkahwinan akan membangkitkan nafsu berahimu dan ini akan membuat kamu merasa bahawa senang dengan kehidupan dunia."


Kata Lukman Al-Hakim: "Wahai anakku! Aku sudah memikul batu-batu yang besar, aku juga sudah mengangkat besi-besi yang berat. Tetapi aku tidak pernah merasakan sesuatu yang lebih berat daripada tangan yang buruk perangainya."

Kata Lukman Al-Hakim: "Wahai anakku! Aku sudah merasakan segala benda-benda pahit, tetapi aku belum pernah merasakan sesuatu yang lebih pahit dari kemiskinan dan kehinaan."

Kata Lukman Al-Hakim: "Wahai anakku! Aku sudah pernah mengalami penderitaan dan bermacam-macam kesusahan dan kepayahan, tetapi aku belum pernah mengalami penderitaan yang lebih susah dan lebih payah dari menanggung hutang."

Kata Lukman Al-Hakim: "Wahai anakku! Sepanjang hidupku aku hanya dapat memilih 8 kalimah dari pusaka para nabi-nabi yang lalu, sabda mereka:-

1. Apabila engkau mengerjakan sembahyang, beribadah kepada Allah S.W.T. maka jagalah baik-baik fikiranmu.

2. Apabila engkau berada di rumah orang lain, hendaklah kamu menjaga matamu (pandangan matamu).

3. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis, hendaklah kamu menjaga lidahmu (perkataanmu).

4. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan, hendaklah kamu menjaga perangaimu.

5. Ingatlah kepada Allah S.W.T.

6. Ingatlah akan mati.

7. Lupakanlah budi baikmu terhadap orang lain.

8. Lupakan semua kesalahan orang terhadap dirimu.

Setakat ini saja perkongsian untuk kali ini..., semoga kita semua sahabat pembaca mendapat hidayah daripada Allah S.W.T.



Tuesday, June 7, 2011

Nikah Dengan Mahar Ayat-Ayat Suci Al-Quran

Salam keapada sahabat pembaca.., Entry kali ni adalah berkaitan dengan nikah. Semoga kita semua mendapat sedikit pengetahuan dan mendapat pengajaran.., Insyallah

Pada zaman Rasulullah S.A.W. masih hidup, ramai wanita yang ingin menjadi Ummul Mukminin (ibu kaum Muslimin). Ada juga di antaranya yang menyatakan keinginannya secara terus terang kepada baginda. Itu semua semata-mata kerana niat sucinya ingin dibangiktkan dalam kumpulan isteri-isteri baginda pada hari kiamat kelak.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari seorang perempuan telah datang kepada Rasulullah S.A.W. dengan harapan agar baginda sudi menikahinya. Kata perempuan itu: "Ya Rasul Allah! aku telah sediakan diriku kepada engkau."

Rasulullah diam saja tidak memberikan sebarang jawapan. Sementara perempuan itu menunggu dengan sabar dan penuh harapan semoga baginda menerima tawarannya, namun setelah beberapa lama tidak juga dia mendapat jawapannya. Melihat Rasulullah tidak memberikan jawapan, seorang lelaki yang kebetulan berada di situ tampil ke hadapan baginda untuk menyatakan hasratnya.

"Ya Rasul Allah" Kata lelaki itu. "Kalau tuan tidak memerlukannya, kahwinkanlah aku dengan perempuan itu!" Rasulullah bertanya: "Adakah padamu sesuatu yang dapat dijadikan mas kahwin?"

Lelaki itu memang tidak mempunyai apa-apa selain sebuah izar (kain selendang) yang dipakainya sahaja. Lalu lelaki itu menjawab: "Aku tidak mempunyai apa-apa selain kain izar ini."

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Kalau izar itu engkau serahkan kepadanya, tentu kalau engkau duduk tidak berizar. Kalau begitu cuba cari sesuatu yang lain."

Lelaki itu segera menjawab: "Tidak ada sesuatu apapun padaku." Nabi masih menyuruh lelaki itu berusaha mencari sesuatu yang lain walau apapun bentuknya. Kata baginda: "Cubalah cari-cari walaupun sebentuk cincin dari besi."

Mendengar permintan yang sangat senang itu, lelaki itupun segera beredar dari situ dan mencari-cari sesuatu untuk dijadikan mas kahwin. Walaupun Rasulullah hanya menyuruh mendapatkan cincin besi atau barang yang seharga dengannya, dia tidak berjaya mendapatkannya juga. Maka kembalilah lelaki itu kepada baginda dan mengatakan bahawa dia tetap tidak mendapat apa-apa.

Maka bersabdalah Nabi: "Adakah engkau menghafaz sesuatu dari Al-Quran?

Lelaki itu menjawab: "Kalau ayat-ayat Al-Quran memang ada pada saya. Saya hafaz surat anu dan surah anu." Lalu lelaki itu membacakan beberapa surah dari Al-Quran yang dia hafaz.

Akhirnya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Aku kahwinkan engkau dengan dia, dengan mas kahwin surah-surah yang ada padamu."

Sekian saja untuk entry kali ini. Semoga kita semua dapat menambah koleksi cerita dan pengetahuan dalam diri..,

Sunday, June 5, 2011

Iblis Hairan Dengan 2 Perangai Manusia

Dalam sebuah kitab menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bertanya kepada Iblis laknat: "Wahai Iblis laknat apakah ikhtiar kamu sekarang ke atas umatku, sebab aku telah dibangkitkan untuk menyelamatkan semua bani Adam dari kafir beriman kepada Allah S.W.T."

Lalu Iblis laknat mengangkat kepalanya ke hadrat Allah S.W.T. dengan berkata: "Ya Rabbi! demi kemuliaanMu aku akan sentiasa bersungguh-sungguh untuk menarik semua anak-anak Adam melakukan kerja-kerja maksiat selagi mereka itu masih bernafas, dan hamba akan mencampurkan lelaki dan wanita bercampur gaul dengan bebas supaya senang hamba mencelah di dalamnya."

Kemudian turun firman Allah yang bermaksud: "Hai Mala'un demi kebesaranKu dan ketinggianKu! Bahawa Aku akan sentiasa sedia akan mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka itu meminta ampun kepadaKu."

Rasulullah S.A.W. bertanya kepada Iblis: "Wahai Iblis laknat, apa lagi yang engkau musykilkan?" Kata Iblis laknat: "Ya Rasulullah S.A.W. sebenarnya hamba ini sangat hairan dengan perangai umatmu dalam 2 hal antaranya:-

1.Mereka mengaku mencintai Allah S.W.T. padahal mereka itu taat kepada hamba dengan mengerjakan maksiat.

2.Mereka sangat marah kepadaku tetapi mereka sentiasa menurut segala hasutanku."

Allah S.W.T. berfirman: "Hai Mala'un! Demi kemuliaanKu dan kebesaranKu, sesungguhnya Aku anugerahi ke atas umat Muhammad itu 2 kebahagiaan:-

1.Kasih mereka itu kepadaKu maka Aku jadikan kaparah (penebus dosa) bagi maksiat yang mereka telah lakukan kerana perdayaan kamu.

2.Marah mereka itu kepada kamu maka Aku jadikan kaparah (penebus dosa) bagi maksiat yang mereka lakukan kepadaKu.

Iblis laknat tercangang-cangang apabila mendengar bahawa umat Muhammad sangat-sangat dikasihi oleh Tuhan Al-Ghafuurur Rahiim yang amat sangat mengampuni lagi amat sangat mengasihani hambaNya dengan limpah rahmatNya.

Wahai saudara-saudaraku dari cerita yang kita baca ini, maka dapatlah kita sendiri fikir kembali tentang 2 perkara yang menjadi kehairanan Iblis laknat;-

1.Apabila kita kata kita mencintai Tuhan yang menciptakan kita, tetapi mengapakah kita masih lagi membuat kerja-kerja yang mendatangkan kemurkaan Allah.

2.Apabila kita kata kita sangat benci kepada Iblis dan kuncu-kuncunya tetapi mengapakah kita mengikut segala perangai dan hasutannya.

Wahai saudara-saudaraku, Allah S.W.T. menyayangi kita lebih 70 kali dari sayangnya seorang ibu kepada anaknya. Oleh itu, apakah kita masih hendak menjadi orang suruhan syaitan, apakah kita masih hendak menjadi hamba kepada syaitan. Bukankah Allah S.W.T. yang memberikan rezeki kepada kita, jadi bodohlah kita apabila kita melupakan siapa yang memberikan rezeki pada kita dan kita menjadi talibarut syaitan.

Walaupun kita tahu syaitan itu jahat dan padanya tidak ada rasa malu, rasa belas kesihan dan sebagainya tetapi perangai itu juga yang kita hendak ikut.

Keadaan hari ini ibarat manusia sudah hilang akal, Rasulullah S.A.W. telah mengajar kita supaya kita sentiasa berada dalam Islam pada setiap masa dan setiap keadaan, tetapi hari ini kita dapat lihat dengan sendiri begitu banyak saudara-saudara kita yang tidak mahu mengikut cara hidup Islam. Mereka memilih cara hidup yang tidak bermoral seperti suka berjudi, meminum arak, berpakaian tetapi telanjang dan suka berdisko dikelab-kelab syaitan, suka berloncat-loncat dan menyanyi seperti orang yang sedang dibakar dalam api neraka dan sebagainya.

kalau diadakan kiamullail dengan pesta syaitan maka kiamullail itu akan tenggelam  dan pesta syaitan itulah yang akan paling ramai  orang mengikutinya.

Perkara seperti ini bukan perkara baru sebab Rasulullah S.A.W. telah bersabda bahawa di akhir zaman nanti manusia berpakaian tetapi telanjang. Yang kita sedih sekali melihat anak-anak muda kita sekarang tidak lagi malu-malu mendedahkan auratnya. Yang perempuan mendedahkan 3/4 tubuhnya supaya orang lain melihat dan mengatakan tubuhnya seksi dan sebaliknya.

Haruslah ingat setiap pendedahan aurat yang membangkitkan nafsu orang yang melihatnya maka orang yang mendedahkan tubuhnya itu baik lelaki atau perempuan maka dia akan mendapat saham dari perkara yang mendorong orang yang melihatnya, dan dia jua akan mendapat ganjaran apabila orang yang melihat itu mendorongnya melakukan maksiat.

Tidakkah seseorang perempuan itu merasa malu mendedahkan paha, dada, rambut dan sebagainya untuk ditonton kepada orang ramai. Bukankah seluruh anggota tubuh wanita itu ialah aurat yang harus ditutup supaya tidak ada mata orang lain menjilat seluruh tubuhnya, apakah seorang perempuan itu merasa bangga apabila memberlihatkan tubuhnya kepada orang lain. Apakah dia tidak terfikir bahawa satu hari nanti dia akan kahwin dan orang lain pula yang akan menceritakan perihal tubuhnya pada bakal suaminya.

Kalau dah ada anak selepas kahwin nanti tidakkah dia malu apabila anaknya itu melihat tubuhnya yang terdedah satu masa dahulu dalam majalah-majalah dan akhbar.

Janganlah jadikan Islam itu satu agama yang sama dengan agama-agama karut, agama Islam ialah satu agama yang diiktiraf oleh pencipta manusia iaitu Allah S.W.T. kembalilah kepada Islam yang sejati dan sentiasalah ingat Allah itu sangat sayang kepada kita tetapi kitalah yang sangat zalim kepada Allah.

Janganlah cuba melawan kekuasaan Allah, kita ini tidak lebih hanyalah seperti katak di bawah tempurung sahaja. Kerajaan Allah itu amat luas dan janganlah kita mengatakan sesuatu yang kita tidak tahu tentang Allah. Katakanlah Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!

Friday, June 3, 2011

Kisah Sebab-sebab Ikan Tidak Berlidah

Salam kepada semua sahabat pembaca....., post kali ni saya kongsikan satu lagi cerita menarik iaitu sebab-sebab ikan tidak berlidah...., teruskan membaca.,

Rasulullah S.A.W. telah bersabda bahawa: "Sejahat-jahat manusia pada hari Kiamat ialah orang yang bermuka dua, yakni orang yang datang kepada mereka dengan satu wajah dan pada mereka yang lain dengan wajah yang satu lagi. Barang siapa yang bermuka dua di dunia, maka pada hari kiamat nanti dia akan mempunyai dua lidah dari api neraka jahannam."

Sabda Rasulullah S.A.W. lagi: "Tidak akan masuk Syurga orang yang suka mengheboh-hebohkan cerita. Apabila ditanya: "Apakah hikmahnya." Baginda berkata: "Sesungguhnya Allah S.W.T. menciptakan semua makhluk mempunyai lidah, baik yang terdiri dari yang boleh berkata-kata atau pun yang tidak boleh berkata." Orang pun bertanya: "Kenapa ikan mempunyai lidah?

Sabda Rasulullah S.A.W.: "Setelah Allah S.W.T. selesai menciptakan Adam A.S. maka diperintahkanNya malaikat-malaikat sujud kepadaNya. Kesemua malaikat sujud kepada Adam A.S. kecuali Iblis yang dilaknat. Oleh sebab Iblis enggan sujud maka Allah.S.W.T. melaknatnya dengan mengusirnya dari Syurga serta dihapuskan rupa mukanya, lalu iblis pun diturunkan ke bumi. Apabila dia diturunkan ke bumi maka Iblis terus menuju ke laut, Pertama sekali yang dijumpai oleh Iblis ialah ikan. Maka dia pun menceritakan perihal ciptaan Adam A.S. dan berkata Iblis: "Sesungguhnya Adam itu memburu dan mengambil binatang-binatang yang melata di lautan dan daratan." Apabila ikan mendengar kata-kata Iblis itu maka ikan-ikan pun menyampaikan kepada binatang-binatang laut dengan berita tentang Adam A.S. lalu Allah S.W.T. menghilangkan lidahnya."

Semoga kita semua mendapat pengajaran daripada apa yang telah disampaikan dalam coretan ini...,




Thursday, June 2, 2011

Nasihat Nabi Isa A.S

Salam ukhwa kepada semua sahabat..., entry kali ni saya ingin berkongsi satu nasihat Nabi Isa A.S. mengenai dunia. Semoga kita semua mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah s.w.t....,amin.. teruskan membaca.

Nabi Isa A.S. telah berkata: "Janganlah kamu menjadikan dunia sebagai Tuhan, hendaklah kamu jadikan dunia itu sebagai hamba. Simpanlah harta kekayaanmu di sisi Tuhan yang tidak akan mensia-siakannya. Sesungguhnya pemilik simpanan kekayaan dunia dikhuatirikan bencana ke atasnya, tetapi pemilik simpanan kekayaan Allah tidak dikhuatirkan padanya bencana."


Sabda Nabi Isa A.S.: "Wahai golongan Hawariyyin, sesungguhnya aku telah menelungkupkan dunia pada mukanya untuk kamu, oleh itu janganlah kamu membangunkankannya kembali sepeninggalanku. Sesungguhnya di antara kekotoran dunia ialah mendurhakai Allah, dan di antara kekotoran dunia lagi ialah sesungguhnya akhirat tidak akan dapat ditemukan kecuali dengan meninggalkannya. Ingat, berjalanlah kamu di dunia dan jangan memakmurkannya dan ketahuilah bahawa sesungguhnya pangkal dari setiap kesalahan adalah kerana mencintai dunia. Banyak sekali kesenangan sesaat menyebabkan pemiliknya  akan menerima kesusahan yang penjang."

Sabda Nabi Isa A.S. lagi: "Dunia ini dibentangkan kepada kamu untuk duduk di atas permukannya, oleh itu janganlah berebut denganmu raja dan perempuan, janganlah berebut di dalam dunia. Kerana mereka tidak akan menggangumu selama kamu membiarkan mereka dan dunianya. Manakala perempuan pula, takutlah kamu pada mereka dengan berpuasa dan solat."

Sabda Nabi Isa A.S.: "Dunia adalah mencari dan dicari. Orang yang mencari akhirat, dunia akan mencarinya sehingga orang itu dipenuhi rezekinya di dalam dunia. Sedangkan orang yang mengejar dunia hanya akan mencari akhirat apabila tiba kematian dan menangkap pada lehernya."

setakat ini sahaja untuk kali ini.., wassalam..,