Sudah menjadi sifat daripada orang yang paling tinggi takwanya terutama para sahabat Rasulullah S.A.W., perjuangan mereka semata-mata hanya kerana Allah. Mereka tidak begitu mengambil perhatian kalau masalah peribadi mereka dicabar oleh orang, tetapi sebaliknya mereka akan berjuang habis-habisan kalau agamanya dipermain-mainkan oleh musuh. Sifat demikian memang mereka warisi dari Rasulullah S.A.W.
Dikisahkan bahawa, pada suatu hari seorang Yahudi telah mempermain-mainkan agama Islam dengan angkuhnya di hadapan Saiyidina Ali Karramahullahuwajhah. Akibatnya, Ali yang terkenal dengan keberanian dan tegas, telah marah dan mencabar orang Yahudi itu. Maka terjadilah pergaduhan antara kedua-duanya. Perang satu lawan satu itu semakin lama makin hebat. Si Yahudi berjuang kerana angkuh dan sombongnya sedangkan Ali berjuang semata-mata kerana Allah bagi mempertahankan kesucian dan maruah Islam. Kerana hebatnya gerakan dan pukulan Ali, maka terpelantinglah tubuh si Yahudi dan tergolek di atas tanah. Dengan cepat Ali menindih tubuh musuh Allah itu dengan duduk di atas perutnya. Lalu kedua-dua tangannya dipegangnya kuat-kuat dan dimatikannya gerakannya. Kini si Yahudi sudah tidak bergerak lagi. Sementara Ali menatap tajam ke wajahnya sebagai tanda bahawa nyawa lawannya sedang terancam dan hanya tingggal menunggu saat-saat untuk ditikam.
Dalam keadaan tidak berdaya si Yahudi masih mencari-cari akal untuk melepaskan diri, namun tidak berhasil juga. Tiba-tiba dia dapat melepaskan murkanya dengan meludahi wajah Ali. Maka basahlah waja Ali yang mulia itu oleh ludah si Yahudi. Setelah wajahnya berlumur ludah, Ali terdiam. Tidak lama kemudian beliau melepaskan genggaman tangannya dari memegang tangan si Yahudi dan berdiri tegak. Dibuka serbannya dan dilapkan pada ludah yang melekat di wajahnya.
Melihat dirinya sudah tidak ditindih dan tidak diperhatikan lagi, si Yahudi bangun dan berdiri tegak di hadapan Ali. Dengan kehairanan dia bertanya: "Mengapa engkau tidak bunuh aku? Padahal itu merupakan kesempatan yang baik buatmu untuk melakukan itu?"
Kemudian dia berkata lagi: "Aku meludahi wajahmu itu sebenarnya kerana aku sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Saiyidina Ali menjawab: "Tadi saya bergaduh dan menyerang kamu kerana mempertahankan agama Allah. Saya akan membunuh engkau selama engkau menentang Tuhan."
Sambil membetulkan letak serbannya, beliau berkata lagi: "Tetapi setelah kau ludahi wajahku, masalahnya sudah bukan lagi mempertahankan agama Allah. Ia telah menjadi masalah peribadi. Aku sangat murka kepada engkau kerana meludahiku. Kalau sekiranya aku bunuh engkau kerana kemurkaan berkenaan dengan urusan peribadi, maka perjuangkanku sudah tidak ada erti lagi. Sebab bukan lagi kerana mempertahankan agama Allah, melainkan kerana mempertahankan harga diri."
Mendengar penjelasan itu, si Yahudi sangat kagum dengan tingginya akhlak dan keperibadian Ali. Dari pengajaran itu, tahulah dia bahawa perjuangan Rasulullah dan orang Islam bukan untuk kepentingan peribadi tetapi semata-mata demi kepentingan agama Islam.

No comments:
Post a Comment