Sunday, July 24, 2011

Asal Mulanya Orang-Orang Jahiliah Membunuh Anak Perempuan Mereka Yang Baru Lahir

Telah diketahui oleh umum bahawa salah satu tabiat buruk orang Arab sebelum datangnya agama Islam ialah membunuh atau menguburkan anak perempuan hidup-hidup. Apakah kebiasaan itu menyeluruh? Menurut penyelidik beberapa ahli sejarah, kebiasaan ini hanya beberapa ketika pada Bani Tamim bin Murrah.

Pada zaman sebelum Islam, Bani Tamim tertakluk di bawah kuasa kerajaan Hirah yang pada waktu itu diperintah oleh seorang raja bernama Nukman. Sebahagian suku yang dilindungi keselamatannya, Bani Tamim wajib membayar cukai kepada Raja Nukman setiap tahun. Pada suatu ketika Bani Tamim enggan untuk membayar cukai yang telah diwajibkan ke atas mereka. Mungkin kerana hasilnya tidak mencukupi atau ingin menderhaka. Akibat keengganan mereka, Raja Nukman marah dan menghantar sepasukan tentera untuk mengajar Bani Tamim itu. Tentera Raja Nukman itu mengganas dengan merampas apa saja harta milik Bani Tamim. Mereka juga menculik setiap kaum wanita sama ada yang dewasa atau anak kecil yang mereka temui.
Menderitalah Bani Tamim sekian lama kerana ketiadaan isteri dan anak-anak mereka yang perempuan. Beberapa orang di antara mereka cuba memberanikan diri menghadap raja Nukman untuk meminta agar kaum wanita mereka dipulangkan. Raja Nukman tidak mehu menyerahkan kaum wanita mereka begitu saja. Sebaliknya dia memberikan kebebasan kepada para wanita itu sama ada mahu kekal di Hirah atau balik ke pangkuan keluarganya.

Kata Raja Nukman: "Saya akan menyuruh wanita-wanitamu itu memilih satu antara dua. siapa yang ingin kembali kepada keluarganya bolehlah balik dan siapa yang memilih untuk tinggal tetap di sini, sila tinggal di sini!". Ternyata semua wanita Bani Tamim itu memilih untuk kembali ke pangkuan ibu bapa, suami atau keluarga mereka yang lain. Kecuali seorang sahaja yang memilih menetap di Hirah, ini disebabkan dia telahpun berkahwin dengan seorang lelaki Hirah yang sangat dicintainya bernama Amru bin Al-Musymariji.

Akibat tindakan wanita yang seorang ini marahlah kaum keluarganya dan bernazar bila wanita tersebut melahirkan anak perempuan, akan dibunuhnya sebaik saja dia lahir. Tindakan ini diikuti oleh sebahagian ahli kabilahnya yang lain.
Peristiwa pembunuhan ini tidak berlangsung lama dan tidak meluas sampai kepada lain-lain kabilah sebelum Islam. Kerana tabiat seperti ini jelas bercanggah dengan hati nurani manusia yang sayangkan anaknya. Bahkan binatangpun merasa kasihan terhadap anak yang dilahirkan. Sekalipun ada faktor-faktor yang menekan dari luar agar orang tua membunuh anaknya yang baru lahir, kedua-dua ibu bapa tidak akan sampai hati membunuh anaknya. Bahkan anak yang lahir dalam keadaan cacatpun mereka bela. Pada zaman Firaun memang terjadi pembunuhan terhadap anak lelaki yang baru lahir, tetapi yang membunuh bukan ibu bapanya melainkan tentera Firaun yang terpaksa.

Walau bagaimanapun fakta-fakta kes pembunuhan ini tidak bercanggah dengan yang disebutkan oleh Al-Quran, kerana perkara ini pernah ada dan pernah terjadi. Tetapi tidak meluas dan menjadi tabiat semua orang jahiliyah sebagaimana yang dibesar-besarkan oleh sebahagian orang yang membahaskan sejarah kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Kalau kita lihat syair-syair Arab jahiliyah, jelas menunjukkan bahawa kaum wanita mendapat tempat tinggi di kalangan mereka. Banyak syair-syair sanjungan terhadap wanita digubah oleh para pujangga Arab di zaman itu menunjukkan bahawa wanita tidak di pandang rendah atau hina. Wassalam..,

No comments: